Mungkin Kita Tidak Disukai Tetapi Jangan Sampai Dibenci
Kita mungkin tidak disukai, tetapi jangan sampai dibenci | Hari berganti minggu. minggu berganti bulan. bulan berganti tahun. Setiap detik kita akan bertemu dengan bermacam-macam jenis manusia. Tidak kira di rumah, di asrama, di kampus atau di tempat kerja. Bermacam ragam bermacam perangai.
Yang baik kita jadikan teladan yang sebaliknya kita buang jauh-jauh. Mungkin ada diantara kita berhadapan dengan situasi dimana kita cuba berlaku baik pada semua orang tetapi tetap menjadi salah di mata orang lain.Kadang-kadang bermain di fikiran jahat sangatkah aku? Situasi ini adakalanya membuatkan seseorang itu menjadi lemah dan kecewa. Buntu? Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya.
![]() |
Mungkin tidak disukai tetapi jangan sampai dibenci |
Kita Tidak Sempurna
Hidup ini penuh dengan ujian dan dugaan. Jika apa yang kita lakukan tetap kelihatan buruk walaupun kita sebenarnya melakukan perkara yang betul percayalah ianya adalah ujian. Kita adalah manusia yang serba kekurangan. Tidak sempurna dalam semua perkara. Begitu juga orang lain. Mereka juga tidak sempurna.
Adakalanya baik yang dilakukan tetapi buruk yang kelihatan. Bagaimana? Sebagai contoh apabila seorang pengguna jalan raya melanggar kesalahan jalanraya iaitu melanggar lampu isyarat merah. Adakalanya Polis Trafik hanya memberikan amaran supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut. Adakalanya terus disaman ini kerana semua pengguna jalan raya sudah mengetahui bahaya dan kesalahan tersebut. Ada yang menerima kesalahan yang dilakukan. Ada yang mengatakan polis trafik tersebut tidak berhati perut, kejam dan sebagainya sedangkan ia hanya menjalankan tugas untuk keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Sekiranya dibiarkan maka semakin banyak yang tidak akan mematuhinya. Jelas?
Adakalanya seseorang melaksanakan tugas dengan baik juga dikecam dan tidak disukai kerana ketegasannya. Itu belum lagi dalam isu dan perkara lain. Seperti seorang ketua yang tegas dalam meletakkan peraturan. Seorang guru menghukum pelajar atau anak murid demi mendidik seorang yang berguna.
Tidak kira siapa pun kita, dimana jua sekiranya kita yakin bahawa perkara yang kita lakukan itu betul dan sepatutnya dilakukan setelah diambil kira baik dan buruknya maka kita tidak perlu takut dengan apa yang diperkatakan oleh orang lain. Samada mereka suka atau tidak.
"Kita mungkin tidak DISUKAI, tetapi jangan sampai DIBENCI"
Manusia mempunyai pandangan yang berbeza. Semua orang tidak sama. Ada yang menyukai seseorang kerana penampilannya, sikapnya, cara komunikasinya dan lain-lain. Kita juga mempunyai citarasa yang berbeza. Tidak mengapa jika seseorang itu tidak menyukai diri kita.
Tokoh Yang Hebat
Kalau orang jahat tidak disukai mungkin kita tidak merasa pelik ini kerana perkara yang mereka lakukan membuatkan orang lain menjadi tidak suka.Peliknya apabila orang yang melakukan kebaikan tidak disukai. Cuba kita renung kembali. Membaca kisah-kisah mereka yang dahulu dan sekarang, mengorbankan diri untuk kebaikan orang lain. Tetapi mereka tetap tidak disukai oleh sesetengah orang.
Dr Morsi, Presiden ke-5 Mesir yang kenali seorang yang membela negara islam yang lain terutamanya Palestin. Tetapi tetap ada mereka yang tidak menyukai dan menentangnya.
Bediuzzaman Said Nursi seorang Ulama islam terkemuka ketika kejatuhan tamadun Turki Uthmaniyyah. Ada yang pendapat mengatakan beliau merupakan wali Allah. Beliau juga berada di dalam era Mustafa Kamal Ataturk. Ketika Turki dijajah kuasa asing beliau dan mustafa kamal ataturk berjuang mempertahankan turki. Disaat islam diinjak oleh mustafa kamal yang sekular Bediuzzaman memperjuang dan mempertahankan Islam. Dalam melakukan perkara yang baik dalam mempertahankan islam, beliau dibuang daerah, dipenjara dan dikenakan pelbagai siksaan tetapi tidak pernah luntur untuk terus melakukan kebaikan.
Ini belum termasuk tokoh-tokoh lain dalam dan luar negara. Sekiranya tokoh-tokoh yang hebat ini juga tidak disukai apatah lagi kita yang biasa ini. Biarkan saja mata-mata yang tidak menyukai kita. Jangan sesekali perbuatan, tingkah laku, perangai, kata-kata kita membuatkan orang membenci kita.
![]() |
Allah melihat apa yang engkau lakukan | google images |
Biar Tidak Disukai Tetapi Jangan Sampai Dibenci
Memang merasa sangat pelik bila kita tak melakukan apa-apa yang menyakiti hati orang lain tetapi orang merasa tidak suka dengan kita. Biarlah mereka tidak suka mungkin citarasa dan pandangan kita berbeza. Paling penting sesekali perbuatan atau tingkah laku kita membuatkan orang benci kerana menyakiti hati orang lain.
"Kita tidak mampu membuatkan orang suka dengan kita, tetapi jangan buat orang benci pada kita"
Buatlah baik sebanyak-banyaknya walaupun ada orang yang tidak suka dengan apa yang kita lakukan. Ini kerana hidup ini hanya sementara. Kita melakukan sesuatu dengan niat kerana Allah S.W.T. Bukan untuk mendapat pengiktirafan manusia. Allah tahu apa yang kita lakukan itu lebih penting berbanding apa yang orang fikirkan tentang kita.
Jangan bersedih, jangan merasa dukacita. Kita tidak mampu memaksa orang menyukai kita tetapi jangan membuatkan orang membenci kita.